Assalamualaikum...
Setelah beberapa minggu kena jangkitan kuman di telinga kembar saya..akhirnya nampak positif...air/nanah tidak lagi keluar..
Alhamdulillah....tp selesema masih ada, demam baru saje hilang...ubat antibiotik x dapat bg sebab terpaksa bagi ubat demam dulu...harap2 masalah ni xkan berulang lagi...semua ni bikin saya gundah gelana dong...hehe...saya nak share info mengenai masalah yang di panggil otitis media( jangkitan telinga tengah).
__________________________________________________________________
Otitis media ganggu pendengaran budak
Oleh HAFIZAH ISZAHANID
JANGKITAN telinga tengah (otitis media) memang biasa berlaku di kalangan
kanak-kanak. Malah antara 30 hingga 40 peratus kanak-kanak menghadapi
masalah kesihatan ini.
Bagaimanapun disebabkan kanak-kanak pada awal usia tidak berkeupayaan
berbahasa dengan sempurna, dia gagal memberitahu ibu bapa kesakitan
dialaminya. Justeru, ibu bapa seharusnya lebih peka perkembangan anak
dan memerhatikan kelainan tingkah lakunya.
Antara gejala otitis media (OM) ialah sukar tidur, kerap menggaru atau
menarik telinga yang sakit, demam, selesema dan kadangkala batuk.
Ia terjadi dalam dua cara, jangkitan yang akan menyebabkan rasa sakit
diikuti dengan nanah kerana gegendang telinga pecah manakala satu lagi
terjadi dalam bentuk keradangan. Simptom keradangan ialah rasa gatal
tetapi tidak bernanah.
Dalam dua kejadian OM ini, keradangan membawa kesan jangka panjang
seperti kurang pendengaran dan akan melambatkan perkembangan pertuturan
anak jika tidak dirawat manakala jangkitan bernanah akan sembuh
sepenuhnya menerusi pemberian antibiotik. Bagaimanapun ia bukan jaminan
masalah itu tidak berulang.
Gegendang telinga yang pecah biasanya akan bertaut kembali dalam kes OM
yang bernanah. Tetapi jika lubang yang pecah itu besar dan OM terjadi
berulang kali, gegendang mungkin tidak akan bertaut dan menyebabkan
kesan pada pendengaran.
Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Amir Izwan Mohamed Dahan,
berkata setiap kanak-kanak berisiko mengalami OM sejak berusia beberapa
bulan hingga sembilan tahun.
Walaupun orang dewasa juga berhadapan masalah OM tetapi kanak-kanak
lebih kerap menghidapinya kerana sistem ketahanan tubuh masih rendah dan
tiub eustachian kanak-kanak (tiub yang menghubungkan bahagian atas
tekak ke telinga tengah) pendek dan lurus berbanding orang dewasa,katanya.
Keadaan ini katanya, menyumbang kepada berlakunya OM dalam pelbagai
cara. Selalunya tiub ini tertutup tetapi terbuka untuk proses Pengudaraan atau menambah udara dalam telinga tengah. Tiub ini juga
berfungsi menyeimbangkan tekanan udara di telinga tengah dengan tekanan
udara di kawasan sekeliling yang berubah.
Bagaimanapun, jika tiub itu tersekat oleh kebengkakan atau mukus yang
terbentuk oleh selesema ia tidak akan terbuka untuk proses pengudaraan
itu. Ini menyebabkan cecair dari lapisan tisu telinga tengah terkumpul.
Jika tiub itu terus tertutup, cecair itu tidak kering.
Satu faktor lagi mengapa kanak-kanak kerap berhadapan dengan OM kerana
tisu yang mengembang di belakang kerongkong (adenoids) kanak-kanak
biasanya lebih besar berbanding dewasa. Adenoids terdiri daripada sel
limfa yang besar untuk melawan jangkitan. Ia terletak di belakang
bahagian atas tekak. Kerana saiznya, adenoids boleh mengganggu pembukaan
tiub eustachian. Malah, adenoids mungkin berhadapan jangkitan dan
jangkitan itu akan merebak ke tiub eustachian.
Untuk mencegah OM ada beberapa cara. Antaranya imunisasi menentang
jangkitan virus pernafasan atau secara khusus menentang bakteria
penyebab OM. Selain itu kebanyakan doktor menyarankan penggunaan
antibiotik. Jika OM menyebabkan kesakitan, ubat tahan sakit diberikan.
Penting untuk ibu bapa mematuhi arahan doktor dan antibiotik diberikan
mengikut jadual hingga habis, katanya.
Apatah lagi katanya jika kanak-kanak itu diletakkan di pusat asuhan
kerana ibu bapa bekerja. Kanak-kanak yang berhadapan dengan OM harus
diasingkan dengan rakan lain.
Kanak-kanak yang tinggal dengan ahli keluarga yang merokok juga
cenderung untuk berhadapan dengan risiko OM. Justeru, elakkan mereka
dari persekitaran yang penuh dengan asap rokok. Menyusukan anak (sama
ada susu badan atau susu botol) sambil berbaring boleh juga menyebabkan
susu mengalir masuk ke dalam telinga tanpa disedari. Justeru perhatikan
anak yang sedang menyusu.
Secara umum, OM disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae dan
Haemophilus influenzae. Bakteria yang sama boleh menyebabkan selesema
yang biasa dihadapi kanak-kanak. Perhatikan berapa lama dia terkena
selesema. Kadangkala selesema berpanjangan tanpa batuk pun boleh
menyebabkan OM.
Kesan OM pada kanak-kanak
Bukan saja menyebabkan kesakitan, ia boleh menyebabkan komplikasi lebih
serius jika tidak dirawat. Jangkitan yang tidak dirawat akan merebak
dari telinga tengah ke bahagian berdekatan kepala termasuk otak.
Walaupun kehilangan pendengaran disebabkan OM bersifat sementara, OM
yang tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Nanah
yang keluar dari telinga tengah dan kronik OM akan mengurangkan
keupayaannya mendengar dan melambatkan proses pertuturan dan berbahasa.
No comments:
Post a Comment